Rabu, 14 March 2018 | 1:01pm
ANGGOTA polis menahan suspek yang dipercayai memukul seorang penjual ais krim warga Pakistan di pusat rekreasi Ulu Bendul, Kuala Pilah. - Foto ihsan polis

Penjual aiskrim cedera dibelasah

KUALA PILAH: Seorang lelaki penjual ais krim warga Pakistan menerima beberapa jahitan di kepala selepas dibelasah lima lelaki di pusat rekreasi Ulu Bendul di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok, berkata mangsa berusia 40-an itu dipukul menggunakan topi keledar dan loceng besi oleh suspek berusia 22 hingga 30 tahun.

Katanya, kejadian berlaku jam 6.15 petang ketika mangsa sedang menjual ais krim menggunakan motosikal di pusat rekreasi berkenaan.

"Pada masa sama, kelima-lima suspek menaiki dua lori singgah di situ untuk mandi dan ternampak mangsa sedang menjual ais krim di kawasan berdekatan lalu memanggilnya.

"Namun, mangsa dikatakan lambat datang selepas dipanggil menyebabkan suspek berang dan memukulnya menggunakan topi keledar serta loceng besi sehingga mangsa cedera di kepala," katanya.

Haslah berkata, orang ramai yang menyedari kejadian itu kemudiannya menghubungi polis dan semua suspek berjaya ditangkap di sebuah kedai makan di Kampung Terusan Juasseh, di sini, sejam kemudian.

"Lima lelaki itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah dan direman empat hari sehingga 17 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya.

Beliau berkata, mangsa menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, di sini.

1901 dibaca
Berita Harian X