Rabu, 14 March 2018 | 12:06pm

Kumpulan remaja pecah kedai ditahan

SUBANG JAYA: Sekumpulan enam remaja berusia antara 15 hingga 17 tahun ditahan polis, disyaki melakukan pecah kedai serbaneka di Taman Puchong Permai, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Choo Lily, berkata berdasarkan penelitian terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan, sepasukan anggota membuat tangkapan ke atas kesemua suspek terbabit di kediaman masing-masing.

"Hasil siasatan, kesemua suspek mengaku melakukan jenayah itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Choo berkata, suspek mengaku mencuri pelbagai jenis rokok bernilai RM3,000 dan wang tunai RM1,000 dalam kejadian itu.

"Mereka kini ditahan di Balai Polis Bukit Puchong untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

389 dibaca
Berita Harian X