;
Rabu, 14 March 2018 | 11:54am

Samun guna pistol mainan

KAJANG: Seorang juru teknik mendakwa disamun dua lelaki menggunakan senjata menyerupai pistol di sebuah kedai makan di Batu 11, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 4 pagi itu, mangsa, Tan Ching Keong, 34, bersama rakannya sedang makan di kedai berkenaan.

"Namun, tiba-tiba datang tiga lelaki menaiki dua motosikal tidak dapat dikenal pasti nombor pendaftarannya dan seorang daripada mereka mengacukan senjata menyerupai pistol.

"Lelaki itu meminta beg, namun saya enggan memberikannya lalu dia merampas beg sebelum melarikan diri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, ketika lelaki terbabit melarikan diri dalam keadaan kelam-kabut, senjata yang menyerupai pistol itu terjatuh.

Katanya, barang yang diambil suspek adalah milik pelanggannya yang baru saja diberikan untuk dibaiki olehnya.

"Dalam beg itu ada tiga telefon bimbit milik pelanggan dan satu milik saya, selain wang tunai, kad ATM, kad kredit serta kunci kenderaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata," katanya.

384 dibaca
Berita Harian X