;
Rabu, 14 March 2018 | 11:21am

Buli, samun OKU, dua pemuda ditahan

KLUANG: Dua suspek yang membuli dan mencuri telefon pintar serta beg sandang milik seorang remaja orang kurang upaya (OKU) dalam kejadian di padang permainan Taman Sri Kluang dekat sini, ditahan polis tengah malam tadi.

Video berdurasi 32 saat memaparkan kejadian buli itu menjadi viral di media sosial sejak malam tadi, antara lain memaparkan seorang daripada suspek membuli remaja OKU terbabit dengan menggunakan sebatang kayu di taman permainan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham, berkata bapa remaja OKU berkenaan membuat laporan polis selepas melihat video anaknya dibuli petang semalam.

Katanya, dua suspek berkenaan yang berusia 20-an itu sudah ditahan tengah malam tadi selepas menerima laporan polis daripada bapa mangsa.

"Polis sudah menahan dua suspek buli berkenaan, termasuk yang merakam video itu tengah malam tadi selepas gerakan mengesan mereka dibuat sebaik menerima laporan.

"Kejadian buli berkenaan dipercayai dilakukan suspek di taman permainan Taman Sri Kluang pagi semalam. Mangsa memaklumkan bapanya yang suspek mencuri telefon bimbit miliknya, wang tunai RM20 serta beg sandang selepas dibuli dan diugut dengan sebatang kayu," katanya ketika dihubungi NSTP.

Mohamad berkata, dua suspek berkenaan direman mulai hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 382 Kanun Keseksaan kerana samun yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

3638 dibaca
VIDEO berdurasi 32 saat memaparkan seorang daripada suspek membuli remaja OKU di padang permainan Taman Sri Kluang. - Foto Facebook
Berita Harian X