;
Rabu, 14 Februari 2018 | 5:17pm
SHAMSIAH Samsudin yang mengaku sebagai kerabat didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini terhadap pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, April tahun lalu. - Foto Siti Norhidayatidayu Razali

Suri rumah dituduh hina Agong

KOTA BHARU: Seorang suri rumah yang mengaku sebagai kerabat didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini terhadap pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, April tahun lalu.

Tertuduh, Shamsiah Samsudin, 44, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, suri rumah itu didakwa menerusi Facebook Tengku Cik Puan Muda Shamsiah menghantar komunikasi palsu dengan niat menyakitkan hati orang lain, jam 5.31 petang, pada 25 April 2017.

Kenyataan itu didakwa dilakukan di Pejabat Sentosa Jaya, Jalan Padang Bongor, Pengkalan Chepa, di sini, pada jam 2.11 petang, 26 April 2017.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya dan denda RM1,000 bagi kesalahan berulang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh memohon supaya mahkamah membenarkan dia dibebaskan dengan jaminan.

Ahmad Bazli membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Setakat ini, tertuduh tidak membayar wang jaminan itu.

8123 dibaca
Berita Harian X