;
Rabu, 14 Februari 2018 | 1:03pm
TRAKTOR mesin rumput yang digunakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman dekat Gemas, Tampin. - Foto ihsan pembaca

Pemandu traktor mesin rumput bebas dengan jaminan polis

TAMPIN: Pemandu traktor mesin rumput yang dipercayai menyebabkan kematian seorang pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman dekat Gemas di sini, semalam, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Abd Razak, berkata siasatan awal terhadap lelaki berusia 26 tahun itu mendapati tiada unsur jenayah yang menyebabkan kematian Nur Afini Roslan selain dua cedera.

Beliau berkata, siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 304, Kanun Keseksaan iaitu membunuh tanpa niat.

Katanya, polis akan bekerjasama dengan agensi yang berkepakaran berhubung isu itu termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Forensik bagi meneliti punca kejadian.

"Siasatan meliputi pelbagai sudut termasuk melihat bagaimana bilah pisau mesin rumput daripada traktor berkenaan boleh patah.

"Selain itu, kita menyiasat bagaimana lantunan mata bilah berkenaan boleh sampai kepada mangsa yang berada pada jarak agak jauh," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi semalam, mangsa bersama dua rakannya Abdullah Hazlan, 14, dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, menjalani latihan perbarisan sempena hari sukan sekolah yang sepatutnya berlangsung hari ini.

Ketika mereka berada di padang sekolah, jentera berkenaan pada masa sama menjalankan aktiviti memotong rumput sebelum mata bilah terpelanting dan terkena mangsa.

Berikutan kejadian itu, Nur Afini mati di lokasi selepas kepalanya terpotong dua, manakala Abdullah cedera di telinga kanan dan Mohd Farhan Reza cedera di belakang kepala.

Difahamkan, hari sukan yang sepatutnya diadakan di sekolah itu hari ini dibatalkan, malah sesi persekolahan juga ditangguhkan hari ini susulan kejadian terbabit.

15632 dibaca
Berita Harian X