Selasa, 13 Februari 2018 | 11:00pm
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan (dua dari kiri) dalam sidang media semasa hadir Majlis Pelancaran Op Selamat 12 peringkat negeri Pulau Pinang di Plaza Tol Juru, Lebuhraya Utara Selatan. Op Selamat 12 bersempena perayaan Tahun Baru Cina, adalah kempen keselamatan bertemakan Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi. - Foto Danial Saad

Curi telefon: Polis tunggu laporan forensik

PUTRAJAYA: Polis masih menunggu laporan forensik mengenai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekolah di Nibong Tebal, Pulau Pinang, bagi mengenal pasti individu yang mencuri telefon bimbit seorang guru.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan, berkata berdasarkan siasatan awal, pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada imej individu di dalam CCTV itu adalah pelajar Tingkatan Dua yang meninggal dunia selepas cuba membunuh diri.

"Setakat ini, saya tidak boleh mengesahkan...visual itu sangat sukar untuk disahkan.

"Kami memerlukan kepakaran forensik untuk meningkatkan kualiti gambar atau visual dan sehingga itu, kita perlu menunggu," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian Seminar Permuafakatan Pembangunan Nilai dan Sahsiah Murid, di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar yang memetik sumber polis sebagai mengesahkan rakaman CCTV sekolah yang diperoleh menunjukkan pelajar perempuan berusia 14 tahun yang cuba membunuh diri itu mengambil telefon bimbit milik gurunya.

Pelajar itu meninggal dunia pada 1 Februari lalu selepas tujuh hari koma setelah menggantung diri di dalam bilik di rumahnya akibat dituduh mencuri telefon bimbit gurunya pada 24 Januari lalu,

Thaiveegan berkata, laporan sedemikian boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

Ditanya bila CCTV itu diberikan kepada pihak forensik, beliau berkata, rakaman itu diserahkan sejurus pihaknya memulakan siasatan.

Berhubung bila kertas siasatan kes itu akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara selepas tiga kertas siasatan terdahulu dipulangkan semula, Thaiveegan berkata, ia bergantung kepada secepat mana laporan forensik CCTV diperoleh. - BERNAMA

1693 dibaca
Berita Harian X