Isnin, 5 Februari 2018 | 2:56pm
ANTARA peralatan perjudian yang dirampas polis. - Foto ihsan PDRM
ANTARA peralatan perjudian yang dirampas polis. - Foto ihsan PDRM

Polis tegas bendung judi

KUCHING: Polis menahan 63 individu yang terbabit dalam aktiviti perjudian menerusi beberapa serbuan bermula 29 Januari hingga 4 Februari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, operasi membanteras kegiatan haram itu dijalankan di seluruh daerah di negeri ini dengan tumpuan diberikan kepada aktiviti loteri haram, perjudian atas talian, berjudi secara terbuka dan premis perjudian.

Menurutnya, dalam serbuan itu, pihaknya mendapati ada pemilik kedai serbaneka 24 jam dan kedai kopi yang bersekongkol dengan menjadi ejen menjual tiket prabayar kepada individu yang bermain judi atas talian.

"Taktik ini berjaya dihidu polis. Sindiket perjudian memilih taktik menjual tiket prabayar di kedai serbaneka 24 jam dan kedai kopi kerana bimbang dihidu pihak berkuasa.

"Dalam sembilan serbuan yang dijalankan di lima daerah masing-masing di Padawan, Kota Samarahan, Betong, Marudi dan Julai membawa kepada penahanan 12 individu serta polis merampas wang tunai RM3,595 serta 12 telefon bimbit," katanya hari ini.

Katanya, dalam tempoh sama, polis menjalankan 16 serbuan penjualan loteri haram di sembilan daerah dan menahan 18 individu serta merampas wang tunai RM2,392 bersama pencetak, kalkulator dan slip pertaruhan.

Dev berkata, bagi serbuan perjudian di tempat terbuka, pihaknya menyerbu sebuah kedai di Simpang Ngu, Niah di Miri dan menahan 12 lelaki berusia 25 hingga 52 tahun yang sedang leka bermain judi 'pai kow' selain wang tunai RM5,152 dirampas.

"Premis menjalankan kegiatan perjudian secara terbuka itu menjadi tumpuan kaki judi yang perlu membuat pertaruhan antara nilai RM500 hingga RM1,000," katanya.

Menurutnya, 63 individu yang ditahan berusia 16 hingga 68 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut di Ibu Pejabat Polis Daerah mengikut pelbagai seksyen Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

454 dibaca
Berita Harian X