Selasa, 30 Januari 2018 | 2:59pm
PEGAWAI Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Asistan Superintenden, Ooi Wei Seng (kanan) bersama kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Alor Setar sedang menanggalkan kotak fius pada Ops Dadu bagi mengekang aktiviti perjudian atas talian dijalankan di sekitar kawasan Gunung Keriang. - Foto Sharul Hafiz Zam

Potong bekalan elektrik 'rumah judi'

ALOR SETAR: Tiga premis termasuk dua kediaman di Gunung Keriang, di sini, yang menjadi tempat kegiatan mesin judi dan judi dalam talian, dipotong bekalan elektrik.

Anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui Ops Dadu menjalankan operasi itu bermula jam 10 pagi ini, dengan sasaran tiga premis yang pernah diserbu sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, mengakui serbuan dilakukan pihaknya mendapati kegiatan mesin judi dan judi dalam talian dilakukan di rumah persendirian, dipercayai untuk mengelak mudah dikesan pihak berkuasa.

"Sepanjang tahun lalu, sebanyak 16 premis diserbu di sekitar daerah ini kerana menjalankan kegiatan mesin judi dan judi dalam talian, dengan semuanya sudah diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik.

"Tindakan itu diambil mengikut peruntukan Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan semua 16 premis yang dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik itu ialah rumah kedai.

"Tahun ini sebanyak enam lagi premis termasuk tiga yang dikunjungi hari ini, diambil tindakan sama di bawah peruntukan undang-undang sama," katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan hari ini.

Mohd Rozi berkata, operasi terbabit akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai langkah untuk mengurangkan perjudian haram dan mesin perjudian di daerah ini.

Beliau berkata, sebaik saja premis itu diserbu pihaknya akan memohon kepada TNB untuk melakukan pemotongan bekalan elektrik, sebagai langkah untuk mengelakkan kegiatan itu terus berlaku.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perjudian boleh menyalurkannya kepada pihak kami untuk memudahkan tindakan," katanya.

521 dibaca
Berita Harian X