Ahad, 14 Januari 2018 | 8:57am

Tidak serik dipenjara

SHAH ALAM: Tidak serik dan pernah dipenjarakan atas kesalahan memiliki motosikal curi, seorang lelaki sekali lagi ditahan atas kesalahan sama dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di kilometer 11.6 susur keluar ke Lebuhraya Persekutuan II awal pagi tadi.

Malah, pemuda itu turut mendakwa motosikal berkenaan dicuri daripada kakaknya kerana geram tidak dibenarkan meminjamnya, namun siasatan awal mendapati kenderaan itu sebenarnya dimiliki seorang lelaki dan dilaporkan hilang di Kelana Jaya.

Pegawai Penguatkuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Inspektor Mohd Nazli Nordin berkata, sebelum ini suspek pernah ditangkap atas kesalahan memiliki motosikal curi mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

"Siasatan awal mendapati suspek yang berusia 20 tahun dan bekerja di sebuah kilang itu pernah dipenjarakan di Penjara Kajang tahun lalu.

"Suspek ditahan dalam operasi tadi atas kesalahan memiliki motosikal curi iaitu MODENAS CT115S warna merah yang dilaporkan hilang di Kelana Jaya pada 25 Disember tahun lalu.

"Dia yang beralamat di Petaling Jaya itu sudah diserahkan kepada pegawai penyiasat jenayah Kelana Jaya untuk tindakan lanjut," katanya selepas operasi berkenaan.

Mohd Nazli berkata, dalam operasi selama dua jam bermula 1.30 hingga 3.30 pagi itu, sebanyak 106 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan manakala 57 buah motosikal disita.

"Penunggang motosikal yang diperiksa dan ditahan berusia dalam lingkungan 15 hingga 27 tahun, manakala ada dalam kalangan pembonceng yang berumur seawal 13 dan 14 tahun serta beberapa pembonceng wanita.

"Bagi pembonceng bawah umur, kami menghubungi ibu bapa atau penjaga untuk mengambil mereka di sini.

"Sebanyak 56 saman dikeluarkan atas kesalahan tiada lesen, 19 (tiada cermin sisi), satu saman ubah suai ekzos, dua saman tidak menampal lesen L dan P, tiga saman tidak mempamerkan cukai jalan dan satu saman bagi lesen tamat tempoh," katanya.

Dalam operasi berkenaan, seorang pelajar kolej swasta yang cuba melarikan diri mengalami sedikit cedera pada hidung dan mulut akibat terjatuh dari motosikal dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjutan.

Siasatan mendapati dia mempunyai lesen memandu yang sah dan menunggang motosikal yang mengikut spesifikasi yang ditetapkan, namun dipercayai turut mahu melarikan diri ekoran panik apabila kesemua rakannya berpatah balik kerana mahu mengelak sekatan jalan raya.

Pada operasi itu juga sepasang suami isteri menanggung kerugian selepas kereta mereka mengalami kerosakan dan terpaksa ditunda akibat dirempuh sekumpulan mat rempit yang melarikan diri dari sekatan jalan terbabit.

Operasi membabitkan 66 anggota Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dengan dibantu penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan anggota polis sukarela.

Tinjauan BH juga mendapati, walaupun pihak polis giat menjalankan operasi di laluan susur masuk ke lebuh raya itu, menghala ke Kuala Lumpur, masih terdapat sekumpulan mat rempit yang terus berlumba dan mengejek anggota pihak berkuasa yang bertugas.

669 dibaca
ANGGOTA polis menjalankan pemeriksaan terhadap motosikal yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Sameng Jalanan di Shah Alam, awal pagi tadi.
Berita Harian X