Sabtu, 13 Januari 2018 | 11:48pm
PENGARAH Maritim Daerah, Kepten Maritim Abu Zaki Mohammad. - Foto Faiz Anuar

8 nelayan Vietnam terselamat

PELABUHAN KLANG: Lapan nelayan warga Vietnam terselamat apabila diselamatkan oleh sebuah kapal kargo selepas bot nelayan tempatan tempat mereka bekerja karam di kedudukan 38 batu nautika tenggara Pulau Aur, Johor, petang semalam.

Pengarah Maritim Daerah, Kepten Maritim Abu Zaki Mohammad berkata, isyarat kecemasan diterima oleh kapal terbabit, MT Asiatic Dawn, melalui Pusat Kawalan Operasi Pelabuhan Singapura.

"Maritim Malaysia dimaklumkan bahawa kapal terbabit menyelamatkan lapan mangsa berusia antara 26 hingga 35 tahun.

"Semua mangsa dibawa ke Pelabuhan Klang dan dimaklumkan kesihatan mereka berada dalam keadaan baik," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Abu Zaki berkata, pihaknya menerima maklumat daripada pemilik bot berkenaan bahawa 13 orang warganegara Vietnam bekerja di atas bot terbabit.

"Seorang berjaya diselamatkan dan dibawa ke Singapura, manakala dua mangsa diselamatkan kapal MG Neptune sekitar waktu sama dan terus dibawa dalam pelayaran menuju Vietnam.

"Hasil siasatan lanjut, salah seorang mangsa memberitahu sebaik kapal MT Asiatic Dawn tiba di Pelabuhan Klang pada 2 petang , terdapat dua rakan masih hilang dan dipercayai lemas.

"Kelapan-lapan mangsa yang tidak mempunyai pengenalan diri itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Imigresen Pelabuhan Klang bagi siasatan lanjut," katanya.

306 dibaca
Berita Harian X