Sabtu, 13 Januari 2018 | 11:33pm
SUSPEK dibawa ke lokasi bagi memandu arah pihak polis ke tempat dia menanam bom tangan berkenaan.

Lelaki tanam bom tangan tepi longkang ditahan

KUALA LUMPUR: Polis merampas sebutir bom tangan yang ditanam seorang lelaki di tepi longkang berhampiran tangga di sebuah kondominium di Jalan Kuchai Maju 13, di sini, hari ini.

Bom itu ditemui hasil soal siasat ke atas seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an yang ditahan di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama, di sini kerana berkelakuan mencurigakan selain disyaki menagih dadah, kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim, berkata selain mendedahkan aktiviti penyalahgunaan dadahnya, suspek turut mengaku mempunyai bom tangan yang disorok dengan cara ditanam berhampiran kondominium berkenaan.

"Suspek mendakwa bom tangan terbabit diperolehnya daripada seorang rakan warga Thailand sejak dua tahun lalu.

"Oleh kerana bimbang ditangkap pihak berkuasa, suspek menanam bom tangan berhampiran kondominium terbabit kerana pada masa itu dia menetap di situ sebelum berpindah ke Bandar Puteri Kinrara ," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


PASUKAN Unit Pemusnah Bom (UPB) dan Unit Anjing Pengesan (K9) melakukan pemeriksaan sebelum menjumpai bom tangan yang ditanam suspek di tepi sebuah blok kondominium terbabit, semalam. - Foto ihsan pembaca

Susulan itu, katanya sepasukan anggota daripada Unit Pemusnah Bom (UPB) dan anjing pengesan (K9) pergi ke lokasi dengan dipandu arah oleh suspek ke tempat bom tangan itu ditanam.

"Sebagai langkah keselamatan, keseluruhan penghuni Blok B diarah mengosongkan unit masing-masing sebelum kerja mengorek dan mengeluarkan bom tangan dilakukan.

"Satu objek menyerupai bom tangan ditemui oleh pasukan UPB yang kemudian diletakkan dalam 'bekas selamat' untuk proses analisis," kata Mazlan lagi.

Menurut beliau, pasukan UPB dan K9 turut membuat saringan keselamatan di lokasi terbabit dan tidak menemui sebarang objek seumpamanya sebelum mengisytiharkan kawasan itu selamat.

"Tiada unsur 'terrorism" (keganasan) dalam kejadian ini, tiada unsur suspek ingin meletupkan atau mencederakan sesiapa.

"Suspek hanya menyorokkan objek tersebut (bom tangan) kerana khuatir ditangkap pihak berkuasa," jelas beliau yang turut memaklumkan semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

Justeru, katanya polis meminta orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan penyebaran maklumat di media sosial tanpa sumber sahih dan tepat daripada pihak polis.

Tambah beliau, sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat, perlulah menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

1424 dibaca
Berita Harian X