Sabtu, 13 Januari 2018 | 8:27pm
TIMBALAN Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Lagi serbuan SPRM di PP dan KL

GEORGETOWN: Pasukan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu beberapa lagi lokasi di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur hari ini, berhubung siasatan kes terowong dasar laut dan tiga lebuh raya di Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata pihaknya juga merakam percakapan 11 lagi saksi dan menyita beberapa dokumen tambahan dalam siasatan kes terbabit.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada SPRM ada menemui bukti baharu sepanjang proses siasatan dijalankan, selain menegaskan siasatan kes itu dilakukan secara menyeluruh dan adil.

"Biar kami jalankan siasatan secara terperinci dan mengenal pasti sama ada wujud elemen rasuah dan salah guna kuasa seperti yang didakwa dalam kes ini, atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

SPRM kini sudah menyerbu 19 lokasi di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, termasuk beberapa pejabat agensi kerajaan di KOMTAR serta syarikat yang terbabit dalam pembinaan projek mega yang dianggarkan bernilai RM6.3 bilion itu, sejak Isnin lalu.

Selain itu, agensi itu juga dilapor sudah merakam percakapan 20 saksi bagi membantu siasatan kes projek pembinaan terowong dasar laut yang akan Persiaran Gurney di sini, ke Bagan Ajam di Seberang Perai Utara dan tiga lebuh raya.

Susulan serbuan itu, pengerusi dan timbalan pengerusi dua syarikat bergelar Datuk ditahan reman masing-masing di Mahkamah Majistret Putrajaya dan Georgetown, pada Selasa lalu.

Sementara itu, sumber berkata, siasatan SPRM berhubung dakwaan penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa bagi pelaksanaan kajian terowong dasar laut itu akan memasuki peringkat baharu dengan pasukan penyiasat sedang meneliti setiap dokumen berkaitan.

"Ia khususnya membabitkan proses pembidaan dijalankan untuk melantik syarikat bagi tujuan menjalankan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut itu.

Katanya, SPRM juga menyiasat sama ada wujud pelanggaran garis panduan apabila projek berkenaan dianugerahkan kepada syarikat berkenaan.

Beliau berkata, nilai yang dibayar untuk membuat kajian terbabit melalui cara penukaran dua lot tanah di Tanjung Tokong di sini, didapati jauh lebih tinggi daripada keperluan minimum digariskan Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Pasukan penyiasat juga sedang meneliti dokumen dan menyiasat berhubung dakwaan syarikat tujuan khas (SPV) Terowong Pulau Pinang dibenarkan untuk membuat prajualan hak tanah kerajaan berjumlah RM3 bilion.

487 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »