Sabtu, 13 Januari 2018 | 7:36pm

Perompak larikan barang emas RM200,000

JASIN: Seorang pemilik kedai emas kerugian kira-kira RM200,000 selepas premisnya di Jalan Gan Heng Soo, di sini, dipecah masuk perompak dalam kejadian tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, perompak dipercayai menebuk peti besi sebelum berjaya melarikan sejumlah besar barangan kemas ketika premis perniagaan itu sudah ditutup.

Pemilik kedai emas yang hanya mahu dikenali sebagai Sia, 58, mendakwa dia terkejut ketika ingin memulakan perniagaan apabila mendapati bilik keselamatan yang menempatkan peti besi dipecah masuk perompak.

"Saya terperanjat kerana mendapati sebahagian bilik diterangi cahaya matahari ketika membuka bilik keselamatan itu kira-kira jam 10.40 pagi.

"Berikutan kejadian yang berlaku ini, saya segera menghubungi polis," katanya ketika ditemui, hari ini.

Sia yang sudah memulakan perniagaan itu lebih 20 tahun lalu, mendakwa penjenayah terbabit menebuk bahagian tepi peti besi dan mengambil sebahagian emas yang dapat dicapai dan merosakkan pintu peti itu sehingga dia terpaksa memanggil pakar peti besi.

Katanya, selain peti besi, kumpulan penjenayah itu turut merosakkan lima pintu besi di belakang kedai terbabit yang dipercayai digunakan kumpulan penjenayah terbabit untuk melarikan diri.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris, berkata kejadian pecah masuk premis itu dipercayai berlaku pada malam hari membabitkan lebih daripada dua individu.

"Siasatan masih dijalankan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berhampiran dan jumlah kerugian sedang ditafsirkan. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana menjalankan kegiatan pecah masuk di malam hari.

"Bagaimanapun, kejadian itu tidak ada kaitan dengan kumpulan Geng Tebuk yang berlaku di Sungai Udang, baru-baru ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rabu lalu, BH melaporkan polis menembak mati dua daripada tiga anggota 'Geng Tebuk' di sebuah pasar raya di Taman Bandar Baru, Sungai Udang, selepas dipercayai cuba memecah masuk sebuah kedai emas.

605 dibaca
PASUKAN polis forensik melakukan siasatan ke atas premis kedai emas yang dipecah masuk di Jalan Gan Heng Soo, Jasin. - Foto Abdel Hudzairee Mohd Yasak
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »