Sabtu, 13 Januari 2018 | 6:54pm
JPJ menyita kereta mewah jenis Rolls Royce Ghost milik Datuk Seri Aliff Syukri dalam Op Patuh atas kesalahan memiliki LKM atau cukai jalan Sarawak, tetapi ia digunakan di Semenanjung, awal tahun ini.

Kenderaan jutawan komestik tidak disenarai hitam: JPJ

ALOR GAJAH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan yang pihaknya menyenarai hitam kenderaan mewah milik jutawan kosmetik terkemuka, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, berkata langkah itu tidak dibuat susulan Lesen Kenderaan Motor (LKM) milik kenderaan mewah Pengarah Urusan D'herbs Holding Sdn Bhd itu masih hidup.

"Sebaliknya, JPJ hanya mengarahkannya menyelesaikan bayaran penuh LKM bagi kenderaan mewahnya yang disita, selain kesalahan nombor plat tidak mengikut spesifikasi.

"Adalah suatu bentuk kesalahan menggunakan LKM Sarawak (di Semenanjung). Kita sudah menghantar notis kepada beliau (Aliff Syukri).

"Dia hanya perlu membayar lebihan LKM mengikut kawasan yang digunakan. JPJ sentiasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti melihat keadaan fizikal kereta yang kebanyakannya kenderaan melebihi 2400cc," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) di Dewan Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Rembia, di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Wira Koh Nai Kwong dan Timbalan EXCO Pembangunan Belia dan Warisan negeri, Datuk Wira Norpipah Abdol.

Awal tahun ini, BH melaporkan JPJ menyita kereta mewah jenis Rolls Royce Ghost milik jutawan itu dalam Op Patuh atas kesalahan memiliki LKM atau cukai jalan Sarawak, tetapi ia digunakan di Semenanjung.

Dalam operasi itu, dua warga Australia yang berada dalam kenderaan itu turut ditahan kerana tidak memiliki lesen memandu sah di negara ini dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Sementara itu, Wan Ahmad Uzir berkata, program SKSJ yang dilaksanakan sejak tahun 2009 berjaya melaksanakan sebanyak 12 siri dengan penyertaan 3,665 orang dari pelbagai lapisan masyarakat dan umur di Melaka.

"Untuk seluruh negara melalui 310 siri yang dijalankan pada tahun yang sama, kita berjaya melesenkan 137,882 orang peserta," katanya.

2044 dibaca
Berita Harian X