;
Rabu, 27 Disember 2017 | 2:14pm
ANGGOTA polis memeriksa kereta BMW 520D yang digunakan dalam kejadian pembunuhan kejam di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, 17 Disember lalu, dijumpai ditinggalkan di sebuah kebun kelapa sawit di Ayer Baloi, dekat Pontian. - Foto Ihsan PDRM Johor

BMW kes tikam, gilis ditinggal di kebun sawit

JOHOR BAHRU: Kereta BMW 520D yang digunakan dalam kejadian pembunuhan di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, 17 Disember lalu, dijumpai ditinggalkan di sebuah kebun kelapa sawit di Ayer Baloi, dekat Pontian.

Polis menemui kereta itu hasil maklumat awam, kira-kira jam 3 petang semalam, iaitu selepas 10 hari kes pembunuhan terbabit berlaku.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata hasil pemeriksaan awal mendapati kereta yang sudah dibuang nombor pendaftaran itu adalah kereta sama yang digunakan dalam kejadian pembunuhan pada 17 Disember lalu.

"Polis menemui kereta itu di sebuah kebun kelapa sawit dan kita menemui beberapa perkara yang mengaitkannya dengan kejadian.

"Jadi kita positif bahawa kereta itu adalah kereta yang sama yang digunakan dalam pembunuhan terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.


ANGGOTA polis memeriksa kereta BMW 520D yang digunakan dalam kejadian pembunuhan kejam di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, 17 Disember lalu, dijumpai ditinggalkan di sebuah kebun kelapa sawit di Ayer Baloi, dekat Pontian. - Foto Ihsan PDRM Johor

Dalam kejadian 7.30 malam, 17 Disember lalu, seorang lelaki yang juga ahli kongsi gelap berusia 44 tahun diserang sekumpulan lelaki menaiki sebuah kereta jenis BMW ketika sedang berhenti di stesen minyak untuk mengisi angin tayar kereta yang dinaikinya.

Mangsa dibelasah dan ditikam tepat pada bahagian jantung sebelum digilis kereta BMW yang dipandu suspek.

Mohd Khalil berkata, pada masa sama pihaknya masih memburu tiga lagi suspek utama kes terbabit yang dipercayai masih berada dalam negara ini.

Katanya, susulan kes itu, 15 orang termasuk empat ditahan dengan 11 orang sudah dibebaskan.

"Setakat ini tiga lelaki dan seorang wanita masih ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.- tamat

9612 dibaca
Berita Harian X