;
Isnin, 18 Disember 2017 | 7:19pm
ISTERI mangsa kes bunuh di stesen minyak (kiri) bersama seorang rakan semasa menunggu di luar Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru. - Foto Ahmad Fairuz Othman

Mangsa ditikam tepat ke jantung: Polis

JOHOR BAHRU: Empat suspek yang terbabit dalam kejadian menikam dan menggilis seorang lelaki hingga mati di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, di sini, malam tadi sudah dikenal pasti.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata usaha sedang giat dilakukan untuk menahan mereka.

Beliau berkata hasil bedah siasat Hospital Sultanah Aminah hari ini mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat tikaman tepat ke arah jantung.

"Orang awam yang mempunyai maklumat kejadian itu diharap dapat menghubungi balai polis terdekat atau talian Hotline Polis Johor 07-2212999 dengan segera," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau juga berkata siasatan polis mengesahkan pemilik asal kereta BMW berwarna putih yang nombor pendaftarannya terpapar dalam rakaman video kejadian pembunuhan kejam itu tidak terbabit dengan kes berkenaan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kereta BMW 520i dalam kejadian itu menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Pemilik asal (kereta) berjaya dikesan dan selepas ditemubual, polis mendapati pemilik itu tiada kaitan dengan kes ini," katanya.

Isteri mangsa yang juga warga negara Vietnam berusia lingkungan 20-an sudah menuntut mayat suaminya di hospital kira-kira jam 2 petang tadi dengan ditemani dua wanita.

Dalam kejadian jam 7.30 malam tadi, mangsa seorang lelaki berusia lingkungan 30-an maut selepas dipercayai ditikam sebelum digilis dengan kereta BMW itu ketika mengisi angin tayar di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi di sini.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian dada kiri.

47125 dibaca
Berita Harian X