Rabu, 13 Disember 2017 | 4:03pm
MANGSA, Ahmad Hadafi Jus, 42, menceritakan detik kejadian peserta larian Klang City International Marathon cedera dilanggar Proton Iswara dari arah belakang di Jalan Kapar Batu 2, Klang dua hari lalu ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara. - Foto Faiz Anuar

Polis siasat acara maraton dianjur tanpa kebenaran

KLANG: Polis mengesahkan sudah menerima laporan polis daripada Pesuruhjaya Sukan berhubung penganjuran acara maraton 'Klang City International Marathon' tanpa kebenaran, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata laporan dibuat di Balai Polis Brickfields, Kuala Lumpur, pada jam 5 petang semalam, sebelum dirujuk kepada Balai Polis Pandamaran, di sini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Pembangunan Sukan kerana menganjurkan acara larian tanpa kebenaran. Semua pihak diharap memberi ruang kepada polis melengkapkan siasatan acara larian ini," katanya.

Semalam, Majlis Perbandaran Klang (MPK) mendakwa insiden tiga peserta acara berkenaan dirempuh kenderaan, berpunca daripada kawalan keselamatan yang lemah oleh penganjur.

Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin dilaporkan berkata, penganjur sepatutnya bertanggungjawab penuh terhadap kawalan keselamatan lalu lintas di laluan peserta.

Sebelum itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata mengikut Akta Pembangunan Sukan, setiap penganjuran program sukan perlu mendapatkan kebenaran Pesuruhjaya Sukan.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi Ahad lalu, seorang peserta larian itu parah, manakala dua yang lain cedera dilanggar sebuah kereta di Jalan Kapar Batu 2, Klang.

Mangsa, Evelyn Ang Gek Suan, 44, cedera parah di bahagian kepala dan rahang, manakala dua lagi pelari, Ahmad Hadafi Jus, 44, dan Amiruddin Hamid, 37, cedera ringan di bahagian kaki.

563 dibaca
Berita Harian X