Jumaat, 13 Oktober 2017 | 12:33pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.

Mahkamah Tinggi benarkan Najib batal saman Pua

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi membatalkan saman dikemukakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung dakwaan Perdana Menteri melakukan salah laku dalam jawatan awam membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pesuruhjaya Kehakiman, Datin Faizah Jamaludin membenarkan permohonan Najib untuk membatalkan saman itu selepas memutuskan Pua selaku plaintif tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan saman berkenaan.

Faizah dalam penghakimannya berkata tuntutan saman oleh Pua tidak mempunyai sebarang kuasa tindakan yang munasabah dan adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah, malah saman itu hanya spekulasi semata-mata kerana plaintif tidak mengemukakan butiran lanjut mengenai salah laku yang didakwa dilakukan Najib.

Selain itu, katanya Mahkamah Tinggi terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tidak boleh disaman kerana mereka bukan pegawai awam.

Mahkamah kemudian memerintahkan Pua membayar kos sebanyak RM10,000 kepada Najib dan kerajaan selaku defendan.

Najib memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Pua pada 14 Februari lalu dengan alasan perdana menteri bukan seorang pegawai awam dan tuntutan oleh plaintif mempunyai tujuan politik yang terselindung.

Pua dalam tuntutan samannya, mendakwa Najib atas kapasiti Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, cuai menggunakan pengaruh dan kedudukan bagi mendapatkan jaminan daripada kerajaan untuk bon 1MDB yang mana hasil itu dipindahkan ke dalam akaun peribadinya.

Najib diwakili peguam Tan Sri Cecil Abraham dan Datuk Mohd Hafarizam Harun, Pua diwakili peguam Gobind Singh Deo manakala Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching bertindak bagi pihak Kerajaan Malaysia.

1579 dibaca
Berita Harian X