Khamis, 12 Oktober 2017 | 8:35pm
ZARINA Abdul Rahman, (dua kanan) tiba di Bilik Forensik Hospital Kemaman dengan diiringi Inspektor Hamidah Johari (dua dari kiri) sebaik dimaklumkan suaminya itu maut dalam kemalangan di Kilometer 139, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Teluk Kalong, petang ini.- Foto Rosli Ilham

"Saya letih. Satu jam lagi sampai"

CHUKAI: "Suami menghubungi dan beritahu dia akan sampai ke rumah satu jam lagi. Dia juga maklumkan sangat letih sepanjang mengikuti latihan itu," kata Zarina Abdul Rahman, 37.

Beliau ialah balu kepada Sarjan Mejar Abdul Hakim Samingan, 54, seorang daripada dua anggota polis trafik yang maut dalam kemalangan di Kilometer 139, Jalan Kuala Terengganu - Kuantan, dekat Teluk Kalung, petang tadi.

Kemalangan kira-kira jam 2.25 petang itu turut mengorbankan rakan setugasnya, Korperal I Suresh, 36.

Zarina berkata, suaminya menyertai latihan itu sejak Selasa lalu dan ketika kejadian suaminya itu dalam perjalanan pulang ke rumah. 

"Dia menghubungi saya kira-kira jam 1.30 petang dan memaklumkan sangat letih. Saya memintanya menunggang dengan berhati-hati. 

"Dia sempat memaklumkan Jumaat terpaksa bertugas pula di Arena Merdeka, Dungun, sebagai persiapan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang akan merasmikan program Ekspresi Negaraku di situ Sabtu ini," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kemaman di sini, hari ini. 

Katanya, dia meminta suaminya pulang segera ke rumah dan berehat kerana esok terpaksa bertugas lagi sehingga program itu tamat pada petang Sabtu. 

"Saya bimbang kerana dia ada penyakit kencing manis. Sebab itu saya ingatkan dia supaya pulang awal dan berehat secukupnya. 

"Namun, tiba-tiba jam 3 petang saya menerima berita suami terbabit dalam kemalangan dan saya segera bergegas ke Hospital Kemaman," katanya. 

Zarina berkata, sepanjang hidup dengan Allahyarham, mereka memperoleh tiga cahaya mata berusia antara tiga hingga sembilan tahun.

"Perkahwinan arwah suami sebelum ini mempunyai empat anak berusia 18 hingga 31 tahun dan kami anak beranak cukup mesra. Saya kasihankan anak-anak yang kehilangan kasih sayang bapa," katanya. 

Sementara itu, isteri Koperal Suresh, Winney Suley Anak Buan, 33, berkata, sejak dua hari suaminya mengikuti latihan itu, mendiang sering menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp memaklumkan sangat merindui dirinya. 

"Saya pelik kerana jika berkursus sebelum ini dia tidak pernah hantar mesej sebegitu. Saya tidak sangka mesej kerinduannya itu yang terakhir buat saya," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitenden Mohd Said Ibrahim berkata, ketika kejadian, dua anggota trafik itu dengan tujuh pegawai dan 18 anggota trafik lain dalam konvoi Latihan Dalam Perkhidmatan menunggang jarak jauh motosikal berat di Mersing, Johor. 

Setibanya di tempat kejadian, sebuah lori kecil jenis KIA dipercayai memasuki laluan konvoi terbabit lalu merempuh dua motosikal  jenis CBX 750 ditunggangi mangsa.

Berikutan kejadian itu kedua-dua anggota terbabit tercampak ke atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian. 

"Kita menahan pemandu dan kelindan lori terbabit untuk siasatan lanjut serta melakukan ujian saringan air kencing. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian," katanya. 

24385 dibaca
Berita Harian X