Rabu, 13 September 2017 | 9:05pm
TIGA lelaki termasuk Penolong Pegawai Belia dan Sukan Negeri Terengganu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan memalsukan dokumen untuk memperdayakan dua kontraktor termasuk seorang berpangkat Datuk membabitkan kerugian hampir RM800,000.- Foto Mohd Syafiq Ambak

Pegawai sukan Terengganu antara didakwa tipu RM800,000

KUALA TERENGGANU: Seorang Penolong Pegawai Belia dan Sukan Terengganu bersama dua rakannya mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan memalsukan dokumen untuk memperdayakan dua kontraktor membabitkan kerugian hampir RM800,000.

Tertuduh, Mohd Khairul Adli Abdul Hadi, 30, yang berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 467 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 468 KK, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha dan Hakim Rofiah Mohamad.

Dua rakannya, Wan Fairuz Afham Wan Noorislam, 33, dan Azmi Ngah, 44, mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan iaitu mengikut Seksyen 420 KK, Seksyen 467 KK dan Seksyen 471 KK.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Khairul Adli didakwa memalsukan dokumen yang dikeluarkan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT) dengan niat menipu di Pejabat Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Jalan Pasir Panjang, di sini antara 19 April 2016 hingga 25 April 2016.

Selain itu, Mohd Khairul Adli mengaku tidak bersalah memalsukan dokumen iaitu cagaran berharga di atas nama Syarikat Flamingo Daingwell Group (M) Sdn Bhd di alamat dan tarikh sama.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, Mohd Khairul Adli sekali lagi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memalsukan surat cagaran berharga di Pejabat Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Jalan Pasir Panjang, di sini antara 19 April hingga 25 Mei 2016.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Hakim Azman dan Rofiah menetapkan 4 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

Wan Fairuz Afham dan Azmi didakwa menipu Mohd Rozi Ibrahim, 45, dan Zawawi Mohd, 43, dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa JBSNT ada menawarkan projek membekalkan 'Kit Peserta Sukan' dengan dakwaan syarikat milik ahli keluarga iaitu MHI Kenangan Enterprise dan Syarikat Flamingo Daingwell Group (M) Sdn Bhd memperoleh projek itu.

Tindakan mereka mendorong kedua-dua mangsa membayar modal sebanyak RM270,000 dan RM500,000 dalam bentuk tunai dan cek di tingkat bawah Bazar Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Jalan Masjid Abidin dan tempat letak kereta di Batu Buruk, di sini, pada 5.30 petang 25 April dan 2.15 petang 25 Mei 2016.

Selain itu, dua bersaudara itu turut berdepan empat pertuduhan kerana menggunakan dokumen palsu bagi tujuan memperdayakan mangsa.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM18,000 setiap seorang bagi semua pertuduhan, sebelum menetapkan 4 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan pertama dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Mohamad Razali dan pendakwaan kedua pula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Abd Rahman.

Mohd Khairul Adli diwakili peguam, Fozi Adhwa dari Tetuan Nordin Kassim dan Wan Fairuz Afham diwakili peguam, Zulfaqar Al-Basysyar Saharrudin.

4862 dibaca
Berita Harian X