Jumaat, 1 September 2017 | 6:47pm
KEMALANGAN di Jalan Anak Bukit, Alor Setar, Rabu lalu.

Kanak-kanak 'mangsa rebut' ibu bapa stabil

ALOR SETAR: Keadaan Muhammad Mikhail Jafrul Nizam, kanak-kanak yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Anak Bukit, di sini, Rabu lalu sudah melepasi tahap kritikal dan dalam keadaan stabil.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata ketika ini kanak-kanak berusia lima tahun itu masih menggunakan alat bantuan pernafasan jenis Synchronized Intermittent Mandatory Ventilation (SIMV).

"Alat ini berupaya mengesan pernafasan 'spontaneous' kanak-kanak itu dan membenarkan keupayaan pernafasan beliau untuk bertindak tanpa dikawal oleh alat SIMV.

"Tahap sedar beliau masih 'di bawah sedar' disebabkan ubat yang diberikan bagi tujuan rawatan alat pernafasan SIMV," katanya menerusi satu kenyataan.

Katanya, pakar sentiasa memantau keadaan semasa dan akan menghentikan alat bantuan pernafasan jika kanak-kanak itu kekal stabil dan mampu bernafas dengan sendiri atau 'spontaneous breathing'.

BH sebelum ini melaporkan, Muhammad Mikhail yang parah di kepala dan patah tiga tulang rusuk kanan yang menyebabkan kecederaan pada paru-paru kanan.

Kanak-kanak itu terbabit dalam kemalangan selepas bapa, Jafrul Nizam Jaafar, 38, mengejar ibunya, Marziana Mahadzir, 37, dengan kereta kira-kira jam 2 petang Khamis.

Pasangan itu sudah bercerai.

Berikutan kecederaan itu, Muhammad Mikhail dirawat di Unit Jagaan Rapi Kanak-Kanak (PICU) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

2895 dibaca
Berita Harian X