Ahad, 13 Ogos 2017 | 12:30pm
ANGGOTA tentera dan polis menunggu proses bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik HTJ di sini. - Foto Adzlan Siden

2 tentera maut kemalangan

SEREMBAN: Dua anggota tentera maut manakala dua rakan mereka cedera apabila kereta dinaiki terbabas dan merempuh besi penghadang jalan di Kilometer 267.2, Lebuhraya Utara Selatan, arah Selatan di sini, awal pagi tadi.

Anggota tentera yang maut dalam kejadian jam 2.30 pagi itu dikenali Anwar Shaari, 23, dan Amirul Zulkhairi Ismail, 24.

Mereka meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Rakan mangsa, Muhammad Adlan Azlee, 23 dan Zulhilmi Hamid, 23, cedera ringan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata siasatan awal mendapati kereta Proton Waja dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Parit Buntar, Perak ke Kem Tentera Darat, Port Dickson dekat sini terbabas dan melanggar penghadang jalan di kiri jalan.

"Kejadian itu menyebabkan Anwar serta Amirul Zulkhairi tercampak ke dalam longkang, manakala dua lagi rakan mereka cedera ringan dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini," katanya di sini, hari ini.

Sulizmie Affendy berkata, jenazah mangsa dihantar ke HTJ untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

3207 dibaca
Berita Harian X