Ahad, 13 Ogos 2017 | 11:40am
KEADAAN Mesin Juruwang Automatik (ATM) yang rosak teruk selepas cuba diletupkan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Napoh, di sini pagi tadi. - Foto Ihsan Pembaca

'Bom belerang' gagal pecahkan mesin ATM

JITRA: Cubaan perompak melarikan sejumlah wang dengan meletupkan mesin juruwang automatik (ATM) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Napoh, di sini awal pagi tadi, gagal apabila peti simpanan wang itu tidak terbuka.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata kejadian itu disedari orang awam yang ternampak kepulan kecil asap di bangunan itu sebelum menghubungi polis jam 2.40 pagi.

Katanya, polis yang tiba di lokasi mendapati ada kesan letupan disyaki belerang pada bahagian kiri mesin berkenaan.

"Suspek dipercayai menggunakan bom buatan sendiri yang diselitkan di bahagian pintu mesin ATM.

"Bagaimanapun usaha terbabit gagal menyebabkan suspek melarikan diri," katanya.

Perompak juga dipercayai merosakkan kotak rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di atas mesin ATM itu sebelum mereka melakukan jenayah itu.

Belum ada tangkapan dilakukan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457/436 Kanun Keseksaan.

499 dibaca
Berita Harian X