Ahad, 13 Ogos 2017 | 9:36am
ANTARA rumah penduduk kampung yang masih di tenggelami banjir di Kampung Tehel, Jasin. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Mangsa banjir Melaka semakin kurang

MELAKA: Jumlah mangsa banjir di Melaka terus berkurang kepada 94 orang setakat jam 8 pagi ini berbanding 98 orang malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata kesemua mangsa daripada 24 keluarga itu masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan banjir di daerah Jasin dan Alor Gajah.

Beliau berkata semua mangsa berasal dari tiga kampung yang terjejas iaitu Kampung Tehel dan Kampung Tersusun Seri Mendapat di Jasin serta Kampung Seri Jeram di Alor Gajah.

"Setakat ini tiga pusat pemindahan masih beroperasi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel dan Balai Raya Seri Mendapat di Jasin serta Balai Raya Kampung Seri Jeram di Alor Gajah.

"Jumlah mangsa yang ditempatkan di SK Tehel adalah seramai 67 orang daripada 18 keluarga manakala di Balai Raya Seri Mendapat adalah seramai 10 orang melibatkan dua keluarga," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka berkata jumlah mangsa banjir di Balai Raya Kampung Seri Jeram pula adalah seramai 17 orang daripada empat keluarga.

Katanya keadaan cuaca di negeri itu pada hari ini dilaporkan cerah dan semua mangsa banjir akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sekiranya keadaan banjir di kawasan yang terbabit beransur pulih.

Effendy berkata pihaknya dan beberapa agensi penguat kuasa yang terlibat dengan banjir akan terus memantau perkembangan semasa dan penduduk di negeri berkenaan dinasihatkan sentiasa mengambil langkah berhati-hati sekiranya hujan lebat dalam tempoh yang lama berulang. - BERNAMA

279 dibaca
Berita Harian X