Sabtu, 12 Ogos 2017 | 11:31pm
BEBERAPA rumah penduduk di Mukim Siong mula dinaiki air berikutan hujan lebat sejak petang tadi.
BEBERAPA rumah penduduk di Mukim Siong mula dinaiki air berikutan hujan lebat sejak petang tadi.

3 kampung di Baling kena banjir kilat

BALING: Tiga kampung di sekitar Mukim Siong, di sini, kena banjir kilat akibat limpahan Sungai Ketil selepas hujan lebat sejak petang tadi.

Kampung terjejas ialah Seri Ketengga, Bukit Sebelah dan Weng, yang masing-masing dinaiki air hingga 0.5 meter.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, Shamsul Izrin Ishak, berkata susulan keadaan itu penduduk sekitar Siong, di sini, diminta berjaga-jaga dengan risiko banjir kilat berikutan hujan lebat.

"Setakat ini lapan buah rumah di Kampung Seri Ketengga dinaiki air, namun tiada mangsa dipindahkan.

"Kita berharap penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan sering dilanda banjir, bersiap sedia untuk ke tempat selamat sekiranya paras air terus meningkat.

"Sekiranya keadaan berbahaya, mereka diminta berpindah awal ke tempat selamat dan jangan tunggu hingga keadaan terdesak," katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan paras air akan meningkat lewat tengah malam seperti di Baling, Kupang dan Tawar kelmarin.

"Saya harap penduduk berhati-hati dan bersiap sedia ke tempat selamat dan difahamkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga sudah bergerak ke lokasi banjir untuk membantu," katanya.

Berita Harian X