Sesi manjakan diri
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
Sebahagian besar personaliti ABPBH ambil kesempatan bersantai di Pamper Suite anjuran majalah Cosmopolitan
LELAH selepas merentasi perjalanan mendaki puncak peranginan popular, Genting Highlands diredakan oleh sebahagian besar personaliti yang menyerikan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 dengan memanjakan diri di Pamper Suite Cosmopolitan, hujung minggu lalu.
Dibuka selama dua hari di Bilik Mesyuarat 9 & 10, Hotel First World, Genting Highlands, kerjasama kedua antara majalah gaya hidup wanita popular, Cosmopolitan dan Berita Harian itu menyuntik keceriaan kepada tetamu yang menghadiri acara hiburan berprestij yang melabuhkan tirainya 12 April lalu.
Tubuh yang pada awalnya lesu dan tidak bermaya menjadi segar bugar serta bertenaga, malah aura ceria itu terpancar di wajah selebriti tatkala melangkah ke permaidani merah ABPBH 2008.
Pengarang Cosmopolitan, Izza Safinaz Ibrahim bangga kerana khidmat yang disediakan mendapat sambutan hangat selebriti yang enggan melepaskan peluang untuk memanjakan diri sebelum melangkah anggun ke acara hiburan berprestij itu.
Akui Izza, sesuai dengan penganjuran ABPBH 2008 yang memasuki usia matang iaitu 22 tahun, suite yang dihias ringkas tetapi eksklusif itu memenuhi impian selebriti yang sentiasa mendambakan khidmat terbaik.
“Amat terharu apabila ramai yang memuji perkhidmatan disediakan, malah menyenangi suasana serta persekitaran yang memberi peluang kepada selebriti untuk membelai diri sebagai persiapan menghadiri acara glamour.
“Kami di Cosmopolitan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik sebagai sokongan kepada ABPBH 2008, sekali gus mengangkat prestij acara hiburan ini setanding penganjuran anugerah besar lain di luar negara,” katanya.
Memahami keperluan itu, Pamper Suite Cosmopolitan menawarkan sesi eksklusif bertaraf lima bintang kepada lebih ramai selebriti serta tetamu dengan pelbagai layanan istimewa secara percuma.
Apa yang penting, kata Izza, Cosmopolitan mengutamakan keselesaan kepada setiap tetamu yang mendapatkan khidmat di ruang eksklusif itu.
“Disebabkan itu, Cosmopolitan menambah bilangan kerusi urut tajaan Gintell daripada dua kepada lima supaya lebih ramai tetamu berpeluang menikmati pengalaman ini.
“Selain itu, kami juga menyediakan bar solekan yang mendapat kerjasama Secret, Uber Man dan A Listers - satu pembaharuan sebagai penghargaan kepada tetamu yang ingin membelai diri lengkap dari hujung rambut hingga ke hujung kaki,” katanya.
Selain itu, katanya, Cosmopolitan turut menyediakan khidmat urutan daripada tukang urut profesional didatangkan khas dari Tanamera Wellness Spa untuk memberi rawatan kepada tetamu yang memerlukan.
“Usaha ini bertepatan dengan kehadiran majalah Cosmopolitan yang terkenal dengan pelbagai tip kecantikan, fesyen dan gaya hidup bertaraf antarabangsa, jadi kami berkongsi gaya hebat dengan selebriti gaya Cosmopolitan sempena ABPBH 2008,” katanya.
Antara selebriti yang mencuba perkhidmatan disediakan ialah penerima Pengacara TV Wanita Popular, Fara Fauzana.
Akui Fara, rutin kerjanya yang sentiasa diburu masa menyukarkan dirinya untuk mencari ruang serta kesempatan memanjakan diri.
“Kebetulan saya berada di sini lebih awal kerana terbabit dengan siaran langsung Melodi, jadi waktu yang ada itu saya manfaatkan dengan membelai diri di suite ini.
“Hilang segala tekanan dan saya teruja dengan khidmat urutan tradisional yang disediakan kerana ia membuat tubuh saya kembali segar serta bertenaga,” katanya.
Biarpun kurang mahir dengan teknologi moden pada kerusi urut yang disediakan, namun tunjuk ajar daripada krew Cosmopolitan memudahkan selebriti untuk menikmati kemudahan itu.
Antara personaliti yang mencuba kerusi urut moden itu ialah Kieran, Aizat, Diddy, Ainul Aishah, Shila OIAM dan Fizo Omar yang mengakui akan keberkesanannya selepas beberapa ketika merasai pengalaman itu.
“Ia tidak memerlukan masa yang lama dan selepas mencubanya, badan terasa ringan malah tubuh saya menjadi segar untuk meneruskan aktiviti seharian,” kata Kieran.
Tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu, Liyana Jasmay, Zizie Ezette dan Sharifah Shahirah pula memilih untuk mendapatkan rawatan kuku.
Pilihan warna mereka bersesuaian dengan busana yang bakal digayakan, sekali gus menyerlahkan keyakinan tatkala melangkah di dewan penuh glamor.
Izza berkata, sebelum melangkah pulang tetamu turut dihadiahkan beg cenderahati eksklusif terdiri daripada barangan Cosmopolitan dan cenderahati istimewa sebagai kenangan.
Hantar kepada kawan
Format
pencetak


